Posted by: redstone123 | Februari 16, 2011

Program pembangunan pendidikan Orang Asli di SK Lanai

KUALA LIPIS 15 Feb. – Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli Lanai di pedalaman Hulu Jelai di sini bagi melaksanakan program pembangunan pendidikan Orang Asli di kawasan itu.

Lawatan itu diketuai rektornya, Datuk Dr. Haili Dolhan bersama 30 pegawai dan penyelaras sekolah angkat IPGM yang turut disertai Timbalan Pengarah Institut Perguruan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) Lipis, Roselan Ahmad serta Pegawai Pelajaran Lipis Basirun Abdullah Hashim.

Sekolah terbabit dipilih oleh IPGM dan dijadikan sebagai sekolah angkat serta diletakkan di bawah penyelenggaraan IPGTAA Lipis sejajar dengan tanggungjawab institusi terbabit sebagai pusat kecemerlangan pendidikan pribumi kawasan Pantai Timur.

Menurut Dr. Haili, projek sekolah angkat itu dijadikan sebagai perintis mengikut zon bersama tujuh IPGM lain dan akan diperluaskan kepada lapan institut itu lagi pada tahun ini sehingga 2012 dengan mensasarkan sekolah angkat berprestasi kurang cemerlang.

”Kita telah bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi sekolah Orang Asli dalam pelbagai aspek iaitu pencapaian akademik pelajar, motivasi guru, program penglibatan ibu-bapa dan kes disiplin pelajar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu di sini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, projek sekolah angkat merupakan pendekatan bersama antara sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengenal pasti masalah serta kaedah terbaik meningkatkan prestasi sekolah terbabit.

Katanya, pada masa sama, pensyarah IPGM berpeluang melaksanakan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya inovasi pedagogi.

Bagi Penyelaras Projek Sekolah Angkat IPGTAA Lipis, Shahnam Abd. Rashid berkata, sepanjang tahun lalu, program kemasyarakatan dan pendidikan dijalankan di sekolah tersebut bertujuan mewujudkan hubungan mesra yang bukan sahaja bersama pelajar tetapi masyarakat Orang Asli di situ.

”Program itu berjaya mencambah pemikiran masyarakat suku kaum itu dalam bidang pendidikan di samping merapatkan jurang sosial masyarakat Orang Asli supaya tidak terpinggir daripada arus transformasi pembangunan negara,” katanya.

Shahnam menjelaskan, fokus utama IPGTAA Lipis di sekolah berkenaan untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang yang telah dikenal pasti iaitu motivasi kehadiran murid.

Katanya, pihaknya akan proaktif dalam meneruskan program itu dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Pahang, Pejabat Pelajaran Lipis, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan pemimpin setempat supaya misi dan objektifnya tercapai.

Guru Besar SK Orang Asli Lanai, Zainal Fitri Sutim terharu dengan program yang dijalankan seperti bina insan guru, kembara visual, kelas fardu ain, latihan pertolongan cemas dan projek tertentu berjaya mengubah pemikiran pelajar sekolah sekali gus memacu peningkatan akademik mereka.

Tambahnya, program tersebut merangsang kehadiran anak Orang Asli ke sekolah menerusi kegiatan berasaskan persekitaran yang menarik minat mereka melibatkan diri secara proaktif dalam pembelajaran termasuk membuka minda ibu bapa.


Tinggalkan komen

Kategori