Posted by: redstone123 | Disember 23, 2010

Pertahan legasi Orang Asli

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
 

Patani Antah berburu menggunakan sumpit di hutan Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.

 


JERANTUT 22 Dis. – Pahang merupakan antara negeri yang mempunyai banyak suku kaum Orang Asli. Antara suku kaum yang berselerak di seluruh negeri ini termasuklah Bateq, Negrito, Jakun dan Semai.

Meskipun kebanyakan masyarakat Orang Asli di negara ini telah mengalami proses pemodenan, kehidupan empat kaum minoriti itu masih tidak banyak berbeza dengan amalan nenek moyang mereka yang mengamalkan cara hidup primitif.

Bukan sahaja di segi paras rupa dan penampilan, malah mereka masih mengamalkan kehidupan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun untuk mencari rezeki.

Itulah realiti sebahagian masyarakat Orang Asli Pahang yang mendiami pedalaman Taman Negara Kuala Tahan, Hulu Tembeling, Betau, Kuala Koyan, Cameron Highlands, Rompin dan Bera.

Mereka tetap memilih kawasan pedalaman sebagai penempatan dengan menjadikan hutan dan sungai sebagai sumber rezeki walaupun tempias pembangunan moden semakin menjalar ke kawasan berkenaan.

Keunikan kehidupan Orang Asli berkenaan menjadi salah satu daripada tarikan utama pelancong dan aset pelancongan di negeri ini.

Malah, keunikan cara hidup kaum minoriti berkenaan menjadi penting untuk dieks-ploitasi bagi tarikan pelancong yang singgah di beberapa penempatan Orang Asli di negeri ini menerusi projek inap desa.

Walaupun sesetengah kawasan berkenaan sudah disentuh dengan pembangunan moden tetapi suku kaum terbabit masih menjadikan alam semula jadi dan hutan belantara untuk meneruskan kesinambungan warisan adat resam mereka.

Amalan berpindah-randah yang diamalkan tidak banyak berbeza dengan cara hidup manusia purba dengan menjadikan haiwan liar sebagai buruan.

Amalan itu bukan sahaja disebabkan faktor mencari rezeki, malah kepercayaan terhadap kematian dan alam ghaib juga menyebabkan mereka berhijrah ke tempat lain walaupun dalam jarak yang dekat.

Kebiasaannya mereka yang terdiri daripada 30 hingga 40 keluarga itu akan menetap di sesebuah kawasan dalam tempoh antara tiga sehingga empat bulan sahaja.

Berikutan cara hidup sedemikian, anak-anak suku kaum Orang Asli terbabit tidak ke sekolah disebabkan keluarga mereka berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.

Anak-anak mereka membesar dengan alam semula jadi seperti bukit-bukau, hutan dan sungai.

Apa yang lebih penting, Orang Asli berkenaan dapat mempertahankan legasi adat resam dan kesenian lama yang diwarisi sejak turun temurun untuk mengisi kehidupan harian.

Berkunjung ke perkampungan Orang Asli suku Bateq di Taman Negara, minda kita seolah-olah diheret semula ke alam kehidupan manusia prasejarah.

Bayangkan rumah mereka masih lagi dibina dengan kayu, beratap rumbia, bertam dan pelupuh berlantaikan tanah.

Tiada sebarang peralatan moden yang boleh dilihat jika berkunjung ke penempatan mereka selain pinggan mangkuk yang diperbuat daripada tembikar.

Apa yang menarik jika berkunjung ke perkampungan suku Bateq di Dedari dan Terenggan berhampiran Taman Negara, pelancong boleh melihat dua kemahiran asas yang diwarisi Orang Bateq dan Negrito iaitu kaedah menghasilkan api dan menyumpit.

Api dihasilkan menggunakan seutas rotan yang ditarik dengan beralaskan tapak yang diperbuat daripada kayu meranti.

Percaya atau tidak, dalam masa tidak sampai seminit, geseran rotan dengan kayu berkenaan boleh menyalakan api yang dijadikan bahan bakar oleh masyarakat terbabit.

Pemandangan itu sekali gus mengimbau zaman prasejarah sebagaimana yang dipelajari dalam subjek sejarah di sekolah dahulu.

Peralatan sumpitan buluh pula merupakan senjata yang menjadi lambang kebanggaan masyarakat Bateq.

Adalah menjadi tradisi bagi setiap orang lelaki Bateq dewasa wajib mempunyai kepakaran menggunakan sumpitan sebelum berkahwin.

Selain itu, mereka juga mencari tumbuhan hutan seperti keladi liar, ubi-ubi lain dan buah-buahan yang terdapat di Taman Negara.

Masyarakat Orang Asli ini juga mempunyai sikap yang tidak suka membazir. Mereka akan mencari sumber makanan yang mencukupi untuk dinikmati sahaja.

Seorang penduduk Orang Asli Bateq, Patani Antah, 79, berkata, kehebatan seorang pemuda Bateq terletak kepada kemahirannya menyumpit sasaran dengan tepat dan membawa pulang banyak hasil buruan.

“Kepakaran seorang lelaki Orang Asli menyumpit dengan tepat dan memperoleh hasil buruan yang banyak akan disegani oleh masyarakat kami, malah menjadi impian gadis remaja untuk menjadikannya suami,” katanya.

Seorang wanita kaum Semai, Nurulhidayah Abdullah, 60, dari Pos Pantos, Hulu Jelai dekat sini, memberitahu, dia masih menggunakan buluh dan kayu untuk menanak nasi.

Menurutnya, ikan kering dan ubi kayu merupakan antara hidangan utama keluarganya.

“Penggunaan buluh dan kayu untuk memasak lebih menjimatkan, lagi pun rumah kami tidak ada peralatan elektrik dan gas untuk memasak,” katanya.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, nasi, ikan kering dan ubi kayu yang dimasak dalam buluh lebih enak dan gebu selain aromanya membangkitkan selera apabila bahan itu dibalut dengan daun lereh sewaktu memasak.

Seorang pengukir, Hassan Abdullah, 76, pula merupakan antara individu Orang Asli yang masih mengabdikan dirinya pada kesenian mengukir patung untuk dijual kepada pelancong yang singgah di Kampung Sungai Rengat dekat sini.

“Walaupun mengikut kepercayaan nenek moyang kami bahawa patung-patung ukiran ini bagi tujuan perubatan dan menghalau hantu, tetapi hari ini ia menjadi kegemaran pelancong untuk perhiasan dan cenderamata,” katanya.

Hassan yang berketurunan suku Jahut menamakan beberapa patung ukirannya dengan gelaran Hantu Heng, Kemokjah dan Kerong.

Dia juga melahirkan kebimbangannya bahawa kesenian itu akan berkubur selepas ketiadaannya kelak kerana generasi muda kaum itu tidak lagi berminat untuk meneruskan warisan berkenaan.

Sehubungan itu, pelbagai usaha perlu dibuat oleh pihak berwajib untuk memulihara warisan kesenian dan adat resam etnik Orang Asli di kawasan pedalaman negeri ini bagi mengangkat status kampung mereka di bawah projek inap desa.

Keunikan cara hidup dan kesenian pelbagai suku kaum Orang Asli boleh dieksploitasi untuk menambah pendapatan masyarakat minoriti itu sekali gus membolehkan sektor pelancongan inap desa terus berkembang di negeri ini.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: