Posted by: redstone123 | September 27, 2010

Tingkat peluang ekonomi lebih 15,000 penduduk

KUALA LIPIS 22 Sept. – Lebih 15,000 penduduk termasuk Orang Asli di daerah Lipis bakal mendapat manfaat apabila projek pembinaan Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands siap sepenuhnya tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jalan itu bakal menjana dan memberikan peluang ekonomi kepada penduduk yang tinggal di sepanjang rangkaian jalan tersebut.

“Projek itu bakal menjana sektor pelancongan dan pertanian di daerah ini dan meningkatkan taraf hidup penduduk di Sungai Jelai dan Felda Gugusan Koyan di Hulu Jelai,” katanya kepadaUtusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai memberitahu, Orang Asli yang terlibat dengan projek jalan berkenaan telah ditempatkan semula di kawasan kediaman yang lebih selesa.

“Mereka diberikan rumah yang dilengkapi dengan bekalan elektrik dan telefon yang menggunakan tenaga solar,” katanya.

Selain masyarakat Orang Asli, kata Wan Rosdy, para peneroka Sungai Koyan 1, 2 dan 3 turut bakal menerima limpahan ekonomi berikut pembukaan jalan baru itu.

Menurut beliau, Sungai Koyan yang lebih dikenali sebagai ‘pekan koboi’ bakal berubah wajah menjadi pusat pertumbuhan baru tidak lama lagi.

Ini kerana jelasnya, pekan Sungai Koyan akan menjadi dominan sebagai pusat tumpuan golongan peneroka dan menjadi pintu masuk ke Cameron Highlands selain menjadi tumpuan orang ramai sebagai pusat persinggahan tidak lama lagi.

Sungai Koyan juga ujarnya, akan menjadi rangkaian perniagaan sejajar pertumbuhan bandar Kuala Lipis dan Raub yang menjadi nadi utama penduduk kawasan Hulu Jelai dan Batu Talam termasuk Orang Asli yang tinggal di pos penempatan berdekatan.

“Sebagai persediaan bagi menghadapi perubahan itu, kerajaan telah membina beberapa premis perniagaan baru seperti dua bazar rakyat yang dibangunkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bernilai RM1.8 juta.

“Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bernilai RM200,000 dan Pasar Besar Sungai Koyan yang berharga RM350,000 yang dijangka beroperasi awal tahun depan,” kata beliau.

Menurut Wan Rosdy, kemudahan asas lain yang telah mula beroperasi ialah stesen bas bernilai RM500,000 yang memberi kemudahan perkhidmatan bas henti-henti dan ekspres ke Lembah Klang, Raub dan Kuala Lipis.

Selain menjadi laluan baru ke Cameron Highlands, tambahnya, kedudukan Sungai Koyan dianggap strategik kerana terletak di kawasan yang menjadi persinggahan kenderaan berulang-alik dari Lembah Klang ke Kelantan.

“Pekan ini yang terletak di tengah-tengah mukim Hulu Jelai juga menjadi laluan alternatif pemandu dari Pantai Barat ke Pantai Timur terutama Kelantan sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, masyarakat Orang Asli di Hulu Jelai merasa gembira kerana pembinaan Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands dapat membuka peluang kepada mereka menjana peluang ekonomi.

Salah seorang Orang Asli Pos Betau yang ditemui, Osman Pajam, 60, memberitahu, jalan baru itu akan membuka lembaran baru dan peluang untuk menambah pendapatan.

“Kemudahan jalan raya ini membolehkan kami bergerak bebas ke serata tempat mencari rezeki dan memasarkan hasil kampung untuk menampung pendapatan keluarga.

“Infrastruktur berkenaan bukan sahaja menyuntik peluang ekonomi malah perubahan sikap Orang Asli untuk maju seiring dengan kaum lain di negara ini,” katanya.

Rakannya, Bilun Kukui, 63, berkata, dengan adanya jalan baru itu, penempatan Orang Asli yang sebelum ini berada di tengah-tengah hutan kini sudah berubah wajah apabila penempatan dan kampung mereka tidak lagi tersisih daripada masyarakat luar.

“Dulu kami tinggal dalam hutan tetapi dengan adanya jalan baru ini kedudukan kami juga bukan lagi berada di tengah-tengah hutan tetapi telah terdedah dengan dunia luar,” katanya.

Mereka berharap lebih banyak kemudahan insfrastruktur untuk Orang Asli dapat dibina di masa depan seperti jalan kampung, jalan pertanian, bekalan elektrik dan telekomunikasi.

Tambah mereka, dengan jalan baru itu ia boleh mempercepatkan usaha kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan asas yang sama seperti rakyat yang lain.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: