Posted by: redstone123 | Oktober 30, 2009

300 rumah PPRT untuk Orang Asli Jenderak

TEMERLOH 28 Okt. – Kerajaan akan membina 300 unit rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di 12 perkampungan Orang Asli di Jenderak dekat sini pada tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM25.5 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2010, Jumaat lalu.

”Pembangunan masyarakat Orang Asli akan terus diberi perhatian menerusi Bajet 2010 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kutipan Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank untuk mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia di Kuala Krau, dekat sini hari ini.

Mohamed Jaafar memberitahu, peruntukan tersebut membuktikan kerajaan peka dengan kebajikan Orang Asli supaya mereka terus berdaya saing dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Selain itu kata beliau, peruntukan tersebut juga bertujuan menyediakan bantuan makanan berkhasiat kepada pelajar Orang Asli.

Katanya, masih ramai pelajar Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak yang tidak mampu membeli makanan kerana tidak mempunyai wang.

”Saya berharap Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dapat diperluaskan di sekolah-sekolah Orang Asli supaya mereka menikmati makanan berkhasiat dan dapat belajar dengan selesa.

”Kejayaan beberapa murid Orang Asli mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau sejak beberapa tahun lalu membuktikan anak-anak kaum itu boleh berjaya jika mendapat makanan berkhasiat,” jelasnya.


Kategori

%d bloggers like this: