Posted by: redstone123 | Oktober 4, 2009

Nasib suku Jakun dibela

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

JERANTUT 13 Sept. – Kerajaan Pahang memberi jaminan akan membina penempatan baru kepada 15 keluarga Orang Asli suku Jakun yang serba daif di Kampung Semetau, Felda Kota Gelanggi di sini pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan perancangan kepada majlis mesyuarat tindakan daerah Jerantut tidak lama lagi supaya nasib suku Jakun terbela.

Beliau menjelaskan, ketiadaan kemudahan asas di Kampung Sematau berpunca daripada masalah teknikal dan komunikasi apabila kerajaan menyangka suku Jakun terbabit hanya membuat penempatan sementara sebelum berpindah ke tempat lain.

”Saya kesal dan sedih kerana lambat mengetahui kedaifan yang mereka alami sejak empat tahun lalu malah menitis air mata apabila melihat ramai di kalangan penduduk berkenaan telah memeluk Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan dan majlis berbuka puasa dengan penduduk Kampung Semetau di sini semalam.

Beliau mengulas kedaifan suku Jakun di Kampung Semetau sehinggakan mereka hanya menjadikan ubi kayu dan nasi kosong sebagai menu berbuka puasa seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Ahmad Shukri menegaskan, pihaknya telah meminta Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka menggerakkan segera kerja-kerja dakwah kepada suku kaum itu manakala penyaluran kemudahan asas akan disenggara agensi kerajaan berkaitan secara berperingkat supaya kehidupan mereka lebih selesa pada masa akan datang.

”Hasil pertemuan dengan penduduk suku Jakun itu, mereka bersetuju untuk tinggal secara tetap di kampung berkenaan kerana terdapat sumber pendapatan dan kemudahan pendidikan untuk anak-anak,” katanya.

Ahmad Shukri menjelaskan, satu mesyuarat akan dilakukan segera untuk membincangkan rancangan penempatan, infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain yang perlu dilaksanakan segera secara komprehensif.

Beliau menambah, semua agensi termasuk Pejabat Tanah, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), PAID, Pejabat Hutan, Pejabat Pelajaran, Pejabat Pendaftaran, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RISDA akan berperanan dalam membangunkan suku Jakun di kampung berkenaan.

”Rumah yang kini dibina di atas tanah Jabatan Hutan akan distrukturkan semula menerusi penyelarasan dan perancangan bersistematik malah kerajaan tidak akan terlepas pandang terhadap masalah pembangunan suku kaum terbabit,” katanya.

Katanya, beliau dan pejabat pentadbiran daerah Jerantut akan memantau kehidupan penduduk tersebut dan menstrukturkan semula kampung itu supaya dijadikan penempatan baru dan kekal tidak lama lagi.

”Kerajaan tidak pernah meminggirkan penduduk tertentu malah semua kemudahan diagihkan sama rata tanpa mengira kaum dan agama,” jelasnya.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: