Posted by: redstone123 | Oktober 4, 2009

Hak Orang Asli tidak dirampas – Adnan

CAMERON HIGHLANDS 21 Sept. – Kerajaan negeri tidak pernah berhasrat merampas hak masyarakat Orang Asli di negeri ini, sebaliknya akan sentiasa memastikan kaum minoriti itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri juga tidak pernah berkecil hati apabila terdapat sebahagian masyarakat Orang Asli mengambil tindakan undang-undang kerana mendakwa hak mereka dicabuli.

”Kita (kerajaan) sentiasa bersikap terbuka walaupun disaman oleh masyarakat Orang Asli Bukit Rok dan Bukit Ibam di Bera kerana mendakwa kerajaan menceroboh tanah nenek moyang bagi melaksanakan projek ladang kelapa sawit melalui Felcra,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja sehari di kawasan Parlimen Cameron Highlands, di sini baru-baru ini.

Lawatan kerja sehari itu untuk meninjau perkembangan projek pembinaan jalan Sungai Koyan, Lipis ke Cameron Highlands, mendengar taklimat mengenai cadangan pembinaan projek Hidroelektrik Ulu Jelai dan menyampaikan dividen Risda kepada masyarakat Orang Asli di Pos Lanai.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Perumahan dan Pusat Pertumbuhan Desa, Datuk Soffi Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed.

Adnan turut mengulas tindakan dua batin dan empat penduduk Orang Asli dari kedua-dua kampung tersebut memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 18 April 2007 bagi menghalang kerajaan negeri memajukan tanah pertanian di Padang Kepayang, Bera.

Mereka ialah Batin Kampung Bukit Rok, Mohamad Nohing; Batin Bukit Ibam, Raman Mat serta tiga penduduk kedua-dua kampung itu yang mengambil tindakan undang-undang menghalang Felcra memajukan tanah berkenaan yang didakwa tanah adat hak milik Adat Orang Asli.

Dalam tuntutan itu mereka mendakwa tanah itu dimajukan oleh nenek moyang mereka sejak sebelum berlaku Perang Dunia Kedua.

Mereka menamakan Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Kerajaan Pahang, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Kerajaan Persekutuan kerana mengambil tanah tersebut yang didakwa sebagai milik mereka secara tidak sah.

Menurut Adnan, walaupun disaman, kerajaan negeri sentiasa bersedia mendengar masalah termasuk menimbangkan permohonan mereka untuk menjadi peserta Felcra di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Adnan menasihati batin kedua-dua kampung itu supaya menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri untuk perbincangan lebih lanjut.

Terdahulu pada majlis penyampaian dividen Risda kepada 161 Orang Asli dari Pos Lanai, beliau menasihati mereka supaya menggunakan wang secara berhemah dan menabung sebahagian daripadanya untuk masa hadapan.

Pada majlis itu, Risda mengagihkan dividen sebanyak RM80,500 dan setiap ketua keluarga menerima RM500.

Adnan turut menasihati masyarakat Orang Asli di negeri itu supaya memberikan perhatian terhadap pendidikan anak-anak mereka dan menjaga kebersihan bagi mengelak daripada dijangkiti selesema babi atau influenza A (HINI).

ends.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: