Posted by: redstone123 | Ogos 2, 2009

Menarik perhatian pengunjung

 

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

 

PELANCONG dari China diberi kesempatan bersanding mengikut adat Melayu ketika mengunjungi Inap Desa Sungai Pasu, Raub, Pahang, baru-baru ini.



RAUB 31 Julai – Inap Desa Sungai Pasu dekat sini sememangnya tidak asing di kalangan pelancong domestik dan asing.

Ekoran dari itu, kerajaan tidak teragak-agak menjadikan inap desa tersebut sebagai destinasi tetap pelancong dari negara China baru-baru ini.

Inap Desa Sungai Pasu yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan sejak tahun 2002 merupakan antara salah satu inap desa yang paling aktif di negara ini.

Jumlah pelancong dicatat yang pernah berkunjung ke inap desa ini ialah 42 orang dari China, Jepun (60), Sweden (15), Kanada (14), Australia (16), Singapura (208) dan lebih 1,000 pelancong domestik.

Inap Desa Sungai Pasu terletak hanya lima kilometer dari pusat rekreasi Lata Jarum dan Pulau Chekas yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Dong dekat sini.

Lokasi itu menjadi nilai tambah kepada pelancong yang ingin merasai sendiri kejernihan dan kedinginan air terjun itu yang masih tidak diusik oleh pembangunan.

Pengerusi Inap Desa Sungai Pasu, Mohd. Zamri Maarof, 52, berkata, Kampung Sungai Pasu pernah memenangi Pertandingan Kampung terbersih peringkat negeri selama beberapa tahun.

Keistimewaan Inap Desa Sungai Pasu, menyambut ketibaan pelancong dalam majlis penuh tradisi dan berwarna-warni bagi memperkenalkan persembahan kebudayaan dan sebagainya.

Kedatangan 42 pelancong dari China pada minggu lalu misalnya, diraikan dengan persembahan kebudayaan tempatan yang turut disaksikan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yang juga Ahli Parlimen Raub.

Menurutnya, antara yang menyertai program inap desa itu ialah Pengetua Institut Undang-Undang Universiti KST, Dr. Zeng Yuexing.

Penyelaras Inap Desa Sungai Pasu, Sumi Ngah Dimi, 45, berkata, pelancong disajikan dengan kehidupan kampung tradisional bersama keluarga angkat dengan suasana damai dan udara bersih lagi menyegarkan.

Majoriti penduduk kampung itu, jelasnya, terdiri daripada orang Melayu berketurunan Jawa yang telah menetap di daerah ini sejak lebih 50 tahun lalu.

”Pertembungan budaya antara Jawa dan Melayu sekali gus menghasilkan cara hidup dan adat resam yang unik serta menarik di kalangan masyarakat kampung,” katanya.

Di samping itu, jelasnya, kampung itu juga didiami masyarakat Orang Asli suku Che Wong yang mengamalkan cara hidup separa moden.

Para pelancong, kata beliau, dapat melihat dan menyaksikan sendiri cara hidup masyarakat minoriti itu yang unik lagi menarik.

Antara produk pelancongan yang disediakan di Inap Desa Sungai Pasu ialah tinggal bersama keluarga angkat.

Sepanjang tinggal bersama keluarga angkat, kata Sumi, pelancong dibawa melawat ke perkampungan Orang Asli untuk menyaksikan demonstrasi menyumpit dan tarian sewang yang sangat digemari pelancong asing.

”Pelancong berpeluang menyumpit dan mencuba tarian sewang yang sangat unik dan mengasyikkan,” katanya.

Di samping itu ujarnya, pelancong dari China itu berpeluang terlibat dalam aktiviti menoreh di kebun getah yang pastinya begitu asing bagi mereka.

Kata Sumi, setiap rumah yang menyertai program itu mempunyai kolam ternakan ikan air tawar yang memelihara ikan tilapia, patin dan tongsan.

Beliau berkata, apa yang menariknya ialah para pelancong juga dibenarkan memancing tanpa bayaran.

Aktiviti lain dalam pakej itu, menurutnya, terdapat lawatan ke Pusat Perlindungan Gajah dan ‘Deerland’ di Lanchang, Temerloh dengan merasai sendiri pengalaman menaiki dan memandikan gajah.

Salah satu aktiviti yang sangat menarik minat pelancong dari China itu ialah aktiviti sukan air iaitu berakit, berkayak dan ‘flying fox’ di Taman Tasik Sungai Pasu.

Di samping itu, pelancong turut dibawa dalam aktiviti ‘jungle tracking’ iaitu meneroka Hutan Simpan Ulu Dong dan melihat bunga Rafflesia yang banyak tumbuh liar di hutan tersebut.

Pada masa yang sama, tambah Sumi, pelancong terbabit dibawa melawat projek tanaman bunga melor iaitu sejenis bunga berbau harum yang menjadi pujaan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

Sepanjang menyertai program inap desa tersebut, katanya, pelancong dari China itu begitu teruja dengan cara hidup masyarakat tempatan.

”Mereka sangat gemar dan menyukai budaya Melayu sehingga mereka sanggup memakai baju Melayu atau baju kurung,” katanya.

Sumi menambah, program dan aktiviti inap desa itu sangat bermanfaat kepada penduduk luar bandar bagi meningkatkan pendapatan di samping mengembangkan kebudayaan rakyat tempatan kepada pelancong asing.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: