Posted by: redstone123 | Mei 17, 2009

Keakraban muzik kepada manusia

Keakraban muzik kepada manusia

Sepuluh tahun lalu antropologis yang juga pengubah lagu Dr. Wan Zawawi Ibrahim telah menghasilkan album Dayung. Konsep album ini adalah menyusuri alam dan budaya tradisi masyarakat Orang Asli sambil menyingkap muzik mereka.

Lagu-lagu dalam album ini diinspirasikan daripada bunyi-bunyi alam khususnya persekitaran Orang Asli yang diciptakan dan dinyanyikan sendiri oleh Dr. Wan Zawawi. Dayung keluar jauh daripada konsep popular kerana muzik dalam album ini mempunyai ciri-ciri budaya yang tinggi.

Dalam kata lain, muzik bukanlah sekadar yang disiarkan di media elektronik atau pentas-pentas hiburan saja. Hari ini kalau disebut “muzik” dengan sepantas kilat sebahagian besar daripada kita berfikir tentang bunyi-bunyian yang menjadi kegilaan anak-anak muda.

Definisi muzik menjadi begitu kecil dan tirus apabila yang difahami adalah suatu yang terputus daripada kehidupan manusia. Muzik juga menjadi begitu negatif apabila terjerumus dalam kemaruk budaya popular yang sebenarnya menipiskan hubungan muzik dengan manusia.

Banyak orang mengulangi frasa klise iaitu muzik adalah bahasa sejagat. Maknanya muzik akan difahami oleh semua tanpa mengira lingkungan fahaman, budaya, geografi dan juga kaum. Memang benar muzik adalah bahasa sejagat. Tetapi sebelum sampai ke tahap menjadi bahasa sejagat, muzik perlu menjadi suara jiwa pendukung dalam masyarakatnya.

Muzik dalam konteks sosiologi atau antropologi adalah jauh lebih besar keperluannya berbanding muzik yang mengisi ledakan budaya popular. Muzik bukan sekadar yang kita dengar menerusi radio, televisyen atau di pentas-pentas hiburan semata-mata. Itu hanya secebis daripada sejumlah besar muzik yang tidak diterokai tujuannya kepada hidup manusia.

Kolum ini memberi ruang kepada karyawan muzik dan siapa saja memperkatakan tentang muzik di luar lingkaran sempit yang difahami ramai. Tujuannya tentulah tidak mahu muzik menjadi secebis daripada budaya popular yang melupakan asas keperluan manusia kepada semua yang berbentuk muzik.

Dalam budaya orang Melayu misalnya, muzik adalah susur jiwa. Muzik juga menjadi satu kaedah perubatan seperti yang diketahui ramai menerusi Ulek Mayang misalnya. Malah dalam budaya Melayu juga muzik menjadi keperluan dalam kehidupan apabila musim menuai, muzik diberi peranan yang cukup besar.

Kolum ini tidak akan membincangkan muzik dalam konteks industri seperti yang banyak diperkatakan di sana sini sekarang ini. Biarlah di tempat lain muzik dibahas dari jurus popular dan superfisial. Tetapi kolum ini memerlukan sumbangan karyawan-karyawan muzik, ahli akademik, sosiologis dan antropologis melihat dan mengupas muzik dari jurus yang dalam, menyusur jiwa mencari makna.

Disebabkan muzik sudah hilang makna sebenar, maka penciptaan karya-karya muzik kita juga tersasar jauh daripada citra di mana pengkaryanya dilahirkan. Memanglah muzik itu sejagat tetapi di China, muziknya tidak lekang nuansa budaya China. Secara mudahnya penggunaan instrumen yang wujud dalam masyarakat budaya China.

pemikiranDi negara-negara yang telah lama maju khususnya di segi tahap pemikiran dan ekonomi, muzik klasik yang dicipta beratus-ratus tahun dulu tetap menjadi pilihan. Kenapa mereka berminat muzik klasik? Jawapannya ini menunjukkan muzik bukanlah murahan, semurah karya-karya muzik kita yang hampir tidak bernilai langsung.

Di negara kita, apabila RTM mewujudkan saluran Rima yang kemudian ditukar menjadi Klasik Nasional, ada orang menganggap, itu saluran orang tua. Maknanya pendengar saluran itu orang yang sudah ketinggalan zaman. Tapi mereka lupa penggemar-penggemar muzik klasik adalah orang yang mempunyai status yang tinggi. Adakah mereka ini ketinggalan zaman?

Di Kuala Lumpur sudah terbina sebuah dewan yang khusus untuk muzik klasik iaitu Dewan Filharmonik. Di sini penuh dengan jadual persembahan muzik klasik dan setiap persembahan penuh dengan penonton. Adakah penonton ini boleh dianggap rendah nilainya berbanding penggemar muzik-muzik yang memenuhi stesen radio popular kita?


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: