Posted by: redstone123 | Februari 23, 2009

Sungai Kedondong popular

Sungai Kedondong popular

 

 

AIR jernih yang mengalir di Sungai Kedondong, Batang Kali, Selangor mampu menawan hati sesiapa sahaja untuk kembali mengunjunginya. – UTUSAN/ASWAD YAHYA

BATANG KALI 6 Feb. – Bagi sebahagian warga kota, terutamanya yang berkeluarga, menjadi satu kemestian untuk mencari lokasi sesuai buat berkumpul sambil melakukan aktiviti riadah.

Bagi pencinta alam, tentunya air terjun, jeram atau sungai yang jernih serta sejuk airnya menjadi tumpuan.

Salah satu lokasi pilihan terbaik bagi yang gemarkan suasana sebegini ialah Hutan Lipur Sungai Kedondong yang terletak di Batang Kali, Hulu Selangor.

Destinasi popular ini sudah lama menjadi tumpuan penduduk tempatan dan kawasan sekitarnya, termasuk dari Pahang, untuk bersantai bersama keluarga bukan sahaja pada hujung minggu, tetapi juga cuti umum dan cuti musim perayaan.

Tidak sukar untuk ke pusat perkelahan ini biarpun lokasinya terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur. Terletak di laluan utama Jalan Genting Highlands ke Batang Kali menyebabkan destinasi ini cukup mudah untuk dikunjungi sepanjang masa.

Untuk sampai ke sana, ada banyak pilihan laluan yang hanya mengambil masa kira-kira satu jam 15 minit iaitu sama ada memilih untuk menggunakan jalan lama Batu Caves- Hulu Yam, Rawang-Batang Kali atau melalui Lebuh Raya Karak-Genting Highlands.

Istimewanya sepanjang perjalanan ke sana, suasana keindahan serta kehijauan kawasan hutan dan bukit bukau seolah-olah sudah membayangkan lokasi yang bakal dituju.

Ini kerana sepanjang laluan, pengunjung disajikan dengan panorama alam semula jadi yang cukup indah termasuk tasik di sebelah kiri jalan dan sungai yang jernih di bahagian kanan jalan raya.

Sebaik sampai ke lokasi, pengunjung tidak perlu bersusah payah memikirkan di mana hendak meletakkan kenderaan mereka kerana kawasan tempat letak kereta yang disediakan cukup luas dan selesa.

Sambil mencari lokasi sesuai, aliran sungai yang jernih seolah-olah menggamit pengunjung untuk datang hampir ke gigi sungai. Apatah lagi kedengaran kicauan unggas rimba bersama hilai tawa anak kecil bersorak riang sambil mandi di anak sungai yang belum tercemar ini.

Apa yang menariknya, selain boleh menikmati air sungai yang sejuk dan jernih, pengunjung boleh mendirikan khemah di kawasan lapang yang disediakan. Sama ada memilih untuk membawa makanan yang telah dimasak dari rumah atau memasak sendiri di kawasan itu, terpulang kepada pengunjung.

Bagi yang datang berkeluarga, pondok yang disediakan lebih memudahkan mereka untuk berkumpul sambil berbaring menikmati kicauan unggas rimba.

Kawasan yang dikawal selia sepenuhnya oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ini mula dimajukan kira-kira 10 tahun lalu, di mana pembangunannya mengambil kira konsep percutian keluarga.

Aktiviti lain yang boleh dijalankan di sini termasuklah perkhemahan dan meredah hutan secara berkumpulan, selain mendaki bukit sambil mengenali ratusan spesies flora dan fauna yang asli.

Selain tempat letak kereta dan tandas awam disediakan, terdapat juga gerai makan yang menyajikan juadah istimewa ala masakan kampung. Tidak terkecuali gerai cenderamata yang menjual pelbagai jenis kraftangan buatan masyarakat Orang Asli.

Dalam keasyikan, jangan lupa melihat jam tangan kerana panorama menghijau di sini adakalanya membuatkan pengunjung hampir terleka hari sudah menginjak senja.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: