Posted by: redstone123 | Februari 6, 2009

Tanah Orang Asli diceroboh

Tanah Orang Asli diceroboh

Osman Bongsu (lima dari kanan) berbincang dengan Abu Bakar Harun (bertopi) dan masyarakat Orang Asli Kampung Dusun mengenai projek tanaman sayur yang mencerobohi tanah rizab Orang Asli di Chini, Pahang, baru-baru ini.
– Gambar MAHATHIR ALI


PEKAN 14 Dis. – Masyarakat Orang Asli di seluruh negara kini dianggarkan berjumlah 141,230 orang dengan 59,729 daripada mereka menetap di Pahang.

Kebanyakan mereka masih gemar meneruskan hidup di kawasan pedalaman dan menjalankan aktiviti harian seperti mengutip hasil hutan serta bercucuk tanam.

Bagaimanapun dalam meneruskan kehidupan secara sederhana dan tradisional itu, masyarakat Orang Asli tidak terlepas daripada mengalami kerakusan golongan kapitalis yang mementingkan keuntungan.

Ia terbukti apabila lebih 1,000 penduduk Orang Asli Kampung Dusun, Chini dekat sini mendakwa kehidupan mereka tergugat sejak 11 tahun lalu, apabila tanah seluas 16 hektar milik mereka diceroboh pihak tertentu untuk tujuan komersial.

Pencerobohan sejak 1997 itu bukan saja menjejaskan sumber pendapatan yang sepatutnya dimiliki oleh para penduduk Orang Asli di kampung berkenaan, malah ia secara tidak langsung menafikan pembangunan yang wajar dinikmati mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Dusun, Mohd. Dukui Ahang mendakwa, tanah seluas 16 hektar itu sepatutnya menjadi sumber rezeki untuk penduduk memandangkan ia kawasan yang dirizabkan oleh kerajaan kepada Orang Asli.

Malangnya kata beliau, tanah yang sepatutnya menjana pelbagai sumber pendapatan kepada lebih 1,000 penduduk itu telah dirampas oleh pengusaha haram yang membangunkan ladang sayur tanpa diketahui status kelulusan projek berkenaan.

Lebih menyedihkan ujarnya, pelbagai usaha dilakukan oleh Orang Asli termasuk mengadu kepada pihak berkuasa tetapi gagal mendapat sebarang maklum balas positif.

Sebaliknya, pengusaha terbabit semakin berani membesarkan kawasan pencerobohan dari semasa ke semasa.

”Tidak tahu apa lagi yang harus kami lakukan. Oleh itu, kami mengadakan piket bagi mendesak pengusaha haram terbabit menghentikan operasinya supaya boleh membuka laluan kepada Orang Asli mengusahakan tanah tersebut.

”Memandangkan pihak berkuasa tidak memberi sebarang respons kepada rintihan kami, maka JKKK berpakat untuk mengadukan hal ini kepada Senator Orang Asli, Osman Bongsu dan pihak media,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Lebih 50 wakil penduduk Orang Asli Kampung Dusun mengadakan piket di tanah berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Osman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun.

Mohd. Dukui mendakwa masalah pencerobohan tanah tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah pada 14 Julai 2006 dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 20 Jun 2007.

Katanya, penduduk Orang Asli di kampung itu telah hilang kepercayaan kepada agensi terbabit kerana tidak ada sebarang tindakan susulan diambil selepas aduan dikemukakan.

Pada masa sama jelasnya, pengusaha haram itu semakin berkeras untuk tidak berganjak dari tanah berkenaan.

Mohd. Dukui mendakwa pengusaha haram tersebut tidak pernah meminta kebenaran daripada tok batin, JKKK atau penduduk untuk mengusahakan tanah tersebut.

Sebaliknya. kata beliau, pengusaha terbabit bertindak mengugut penduduk dengan mendakwa dirinya sebagai samseng dari Johor dan mengancam untuk bertindak keras sekiranya didesak meninggalkan tanah tersebut.

Katanya, pengusaha terbabit juga tidak pernah membayar sebarang pampasan kepada penduduk untuk menjalankan projek ladangnya.

”Kami mengalami banyak kerugian kerana tidak dapat menggunakan tanah tersebut bagi tujuan pertanian dan pembangunan.

”Oleh itu, kami meminta pihak berkuasa tampil membantu menangani masalah ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk kampung,” ujarnya.

Sementara itu, Osman ketika ditemui di Kampung Dusun di sini berkata, pencerobohan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana berdasarkan Akta Orang Asli 1954, tiada pihak yang boleh mengambil tanah yang dirizabkan kepada kaum minoriti terbabit.

Menurutnya, pencerobohan secara haram itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah ia memberi kesan negatif terhadap persepsi masyarakat Orang Asli terhadap orang luar.

Tambahnya, pencerobohan seumpama itu juga sedikit sebanyak mengganggu pembangunan yang sepatutnya dikecapi penduduk Orang Asli melalui aktiviti perhutanan, pertanian mahupun infrastruktur sejak 11 tahun yang lalu.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: