Posted by: redstone123 | Februari 6, 2009

40 tahun minum air paya

40 tahun minum air paya

tJAHARAH Jalil bersama kaum keluarganya mengambil air dari perigi yang mereka buat berhampiran rumah di Kampung Batu Gong, Chini, Pekan, Pahang ekoran ketiadaan bekalan air bersih atau air paip sejak tahun 1968.


PEKAN 19 Jan. – Selepas 51 tahun merdeka, banyak kemajuan dikecapi negara termasuk dalam bidang ekonomi, sosial, taraf hidup, infrastruktur mahupun sains dan teknologi.

Namun masih ada rakyat negara ini yang jauh terpinggir dari arus pembangunan malah masih menagih simpati untuk mendapatkan kemudahan yang paling asas dalam kehidupan.

Itulah nasib lebih 1,500 penduduk Kampung Batu Gong, Chini di sini yang sehingga kini terpaksa menggunakan paya, sungai dan perigi sebagai sumber bekalan air walaupun perkampungan itu sudah mula diduduki sejak zaman belum merdeka.

Tinjauan Utusan Malaysia ke perkampungan berkenaan mendapati penduduk terpaksa menggali perigi di belakang rumah semata-mata ingin mendapatkan sumber air bagi dijadikan bekalan minuman dan kegunaan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Gong, Mohd. Yusuf Kadir berkata, kampung itu yang majoriti penduduknya Orang Asli mula diduduki sejak zaman sebelum merdeka dan dibangunkan oleh kerajaan pada tahun 1968.

”Kampung ini terbahagi kepada 11 kampung kecil dan ia diduduki lebih 300 keluarga dengan anggaran 1,500 orang ketika ini.

”Setelah 40 tahun lamanya, penduduk kampung ini yang majoritinya Orang Asli masih terpaksa bergantung kepada paya, sungai dan perigi untuk bekalan air,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd. Yusuf berkata, ketiadaan bekalan air bersih sekali gus mendedahkan mereka terutama golongan kanak-kanak terhadap penyakit.

Menurutnya, perkara itu telah beberapa kali diajukan kepada pihak yang berkaitan namun tiada sebarang tindakan diambil sebaliknya pihak terbabit pula kerap memberi alasan peruntukan sebagai punca permasalahan itu.

”Masalah membekalkan air bersih tidak sepatutnya berlaku kerana saya difahamkan saluran paip utama telah dibina di jalan utama menuju ke kampung berkenaan.

”Malangnya, pihak berkenaan memberi alasan tiada peruntukan untuk menyambungkan air dari paip utama masuk ke kampung kami,” jelasnya.

Justeru, beliau merayu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera memandangkan penduduk di situ yang majoritinya Orang Asli mula bosan dengan masalah yang dihadapi mereka sejak berdekad lamanya.

Seorang penduduk, Mohd. Rais Manap (gambar), 31, berkata, sepanjang hidupnya dia hanya minum air yang diambil dari sungai, paya atau perigi berdekatan rumahnya.

Jelasnya, perkara itu telah menjadi lumrah dalam hidupnya dan hingga kini dia bersama isteri serta dua anaknya masih menggunakan air tersebut sebagai bekalan utama untuk minum, masak, mandi atau membasuh.

”Ketika kecil saya tidak mengambil berat masalah air tetapi selepas meningkat dewasa saya mengerti betapa pentingnya bekalan air bersih terutama untuk anak-anak saya yang baru berusia lima dan sembilan tahun,” ujarnya.

Ahli Dewan Negara, Senator Osman Bongsu pula ketika ditemui semasa melawat kampung berkenaan berkata, pihak kerajaan perlu memberi perhatian yang sewajarnya terhadap masalah itu kerana ia melibatkan soal keperluan dan kesihatan penduduk di situ.

Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) perlu memainkan peranan dengan mengemukakan masalah berkenaan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah supaya tindakan segera boleh diambil.

Jelasnya, beliau bimbang sekiranya tindakan segera tidak diambil, penduduk kampung berkenaan akan bertambah bosan dan marah kepada kerajaan kerana merasakan diri mereka dipinggir daripada arus pembangunan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: